NCH Pemangkin Pembangunan Utara Sarawak, Bukit Kota Nikmati Transformasi Infrastruktur
LIMBANG: Pembangunan infrastruktur khususnya projek Northern Coastal Highway (NCH) dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup penduduk di wilayah utara Sarawak.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pelaksanaan projek strategik seperti NCH mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperluas jaringan infrastruktur bagi merancakkan pembangunan luar bandar.
Menurut beliau, Kampung Telahak antara kawasan yang bakal menerima manfaat langsung apabila dihubungkan dengan laluan tersebut, sekali gus meningkatkan aksesibiliti serta membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Serbaguna Kampung Telahak, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan infrastruktur di kawasan DUN Bukit Kota telah melalui perubahan ketara dalam tempoh dua dekad, daripada kawasan yang serba kekurangan kepada kawasan yang kini dilengkapi kemudahan asas.
Katanya, sebelum ini penduduk berdepan kekangan dari segi bekalan air, elektrik, telekomunikasi dan jaringan jalan raya, namun pelaksanaan projek pembangunan secara berterusan telah mengubah landskap kehidupan masyarakat luar bandar.
Tambah beliau, pembinaan kemudahan seperti dewan kampung serta peningkatan jaringan jalan raya membuktikan pembangunan yang dilaksanakan tidak tertumpu di kawasan bandar semata-mata, sebaliknya memberi tumpuan kepada keseimbangan pembangunan wilayah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kesinambungan projek infrastruktur bergantung kepada kestabilan serta sokongan berterusan rakyat agar setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar memanfaatkan kemudahan yang disediakan, di samping bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam mempercepatkan pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan bersama.
Turut hadir Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal serta Ketua Kampung Telahak, Sadan Mohidin.-EDISI UKAS