Penduduk Sungai Masit Lega Terima Bekalan Elektrik 24 Jam
JULAU: Penduduk di Sungai Masit, Ulu Kanowit kini menarik nafas lega apabila beberapa rumah panjang di kawasan itu mula menerima bekalan elektrik 24 jam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, usaha ini bagi memastikan penduduk pedalaman dapat menikmati kemudahan asas yang diperlukan setelah sekian lama.
Empat rumah panjang iaitu Rumah Mauwa, Rumah Lanak, Rumah Bayang (Rumah Jalin) dan Rumah Jepun serta beberapa rumah perseorangan telah dilengkapkan dengan pemasangan meter grid sejak 4 Disember 2025.
Keseluruhan 69 pintu bilik itu kini menerima bekalan elektrik melalui Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) Last Miles Phase 3 bagi kawasan Nanga Ensiring dan Sungai Masit.
“Ini satu perkembangan yang sangat dinanti oleh penduduk dan saya bersyukur mereka kini menikmati kemudahan elektrik yang lebih stabil,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan bahawa Rumah Felix Jalin di Bukit Seri, Jalan Stulak, Rumah Repie dan Rumah Sat di Selepong serta Rantau Limau menerima kemudahan sama lebih awal pada 2024 dan Mei 2025.
Dato Rolland turut menzahirkan penghargaan kepada Sarawak Energy Berhad (SEB), khususnya Unit Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) serta pasukan SEB Retail Sarikei dan Pakan atas komitmen mereka.
“Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan SEB yang bekerja keras walaupun berdepan cabaran logistik dan geografi,” katanya.
Beliau berharap usaha menaik taraf infrastruktur tenaga luar bandar dapat diteruskan demi kesejahteraan penduduk. -EDISI UKAS