Mukah Raft Safari Berpotensi Jadi Produk Pelancongan Baharu
MUKAH: Penganjuran Mukah Raft Safari mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan baharu bagi menarik lebih ramai pelancong dari luar Bahagian Mukah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, program sedemikian memberi peluang terbaik untuk mempromosikan Mukah secara lebih menyeluruh kepada masyarakat luar.
Menurut beliau, keunikan yang dimiliki Mukah wajar dimanfaatkan sepenuhnya melalui penganjuran aktiviti yang menggabungkan elemen sukan air dan warisan tempatan.
"Ini merangkumi kebudayaan, makanan tradisional serta keunikan aktiviti air yang seterusnya boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan baharu.
"Saya percaya program ini dilihat sebagai langkah awal yang positif ke arah memperkukuh identiti Mukah sebagai destinasi pelancongan berteraskan komuniti dan budaya tempatan," katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah Mukah Raft Safari 2025 di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Royston berkata, penganjuran tersebut bukan sahaja menjadi platform kepada penduduk setempat, malah turut menarik minat penyertaan daripada peserta luar.
Menurutnya, kehadiran pelancong dan peserta luar secara tidak langsung membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat di sekitar Mukah.
"Sehubungan itu, saya berharap agar penganjuran program ini dapat dilaksanakan secara tahunan dan diteruskan pada masa akan datang.
"Ia perlu bergerak seiring dengan penganjuran acara besar lain yang sedia ada di Mukah seperti Kaul Mukah, Regata Mukah dan Festival Makanan Mukah," tambahnya.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengurus Grit Event Management Awang Salehuddin dan Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias.-EDISI UKAS