HUS Terima Sumbangan 17 Unit Kerusi Rawatan dan Kerusi Menunggu
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menyalurkan sumbangan kerusi rawatan dan kerusi menunggu kepada Jabatan Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi meningkatkan keselesaan pesakit serta ahli keluarga yang menunggu rawatan.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, sumbangan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBKS itu melibatkan tujuh unit kerusi rawatan dan 10 unit kerusi menunggu dengan nilai keseluruhan RM12,000.
Menurut beliau, sumbangan tersebut direalisasikan hasil keprihatinan masyarakat serta maklum balas pantas daripada para penderma selepas beliau menerima permintaan daripada pihak hospital berhubung keperluan kemudahan berkenaan.
“Sumbangan ini hanya dapat direalisasikan dengan sokongan para penderma.
"Kadangkala perkara yang kelihatan ringkas seperti kerusi sebenarnya memberi perbezaan besar,” katanya selepas penyerahan sumbangan berkenaan di hospital tersebut pada Isnin.
Dato Wee turut menyifatkan sumbangan tersebut sebagai hadiah bermakna sempena sambutan Hari Krismas, di samping menegaskan bahawa masih banyak aspek di hospital awam yang memerlukan penambahbaikan, bukan sahaja dari segi kemudahan untuk pesakit, malah bagi doktor, jururawat serta ahli keluarga pesakit.
Beliau memaklumkan, sumbangan berkenaan direalisasikan hasil kerjasama beberapa syarikat swasta yang tampil menyokong usaha menjaga kebajikan komuniti melalui pelaksanaan CSR.
Antara syarikat yang terlibat ialah Katimas Sdn Bhd, Acute Project Sdn Bhd, Sharing Planet Sdn Bhd, Megastanda Sdn Bhd, Ori Pasti Ori (Kuching) Sdn Bhd, Alfresco (Kuching) Sdn Bhd, HS Credit Corporation Sdn Bhd serta Wan Li Wan Welding Works.
Sementara itu, Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr. Ngian Hie Ung merakamkan penghargaan kepada MBKS dan para penderma atas sumbangan berkenaan.
Beliau berkata, HUS merupakan hospital untuk semua dan masih memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak bagi menambah baik persekitaran rawatan serta kemudahan teknologi.
“Walaupun terdapat peruntukan tahunan daripada Kerajaan Persekutuan, keperluan sebenar hospital adalah sangat besar.
"Sumbangan kecil daripada masyarakat mampu memberi impak besar kepada keselesaan pesakit,” katanya.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Mohd Naseem & Nur Nabilla