PBSL Madani Beri Peluang Kedua Kepada Prospek Penjara
PADAWAN: Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) memberi peluang kedua kepada prospek penjara di seluruh Malaysia, khususnya di Sarawak untuk meneruskan hidup baharu mereka bersama masyarakat luar.
Pengarah Penjara Sarawak, Timbalan Komisioner Teyun Thian Eim berkata, antara inisiatif yang diambil termasuklah mengadakan kerjasama dengan majikan untuk mengambil prospek bekerja di bawah mereka dalam usaha memberikan pekerjaan dan pendapatan tetap kepada prospek yang dibebaskan.
“Ada beberapa syarikat yang telah mengambil bekas-bekas prospek yang dilepaskan secara Orang Diparol (ODP) dan Orang Bebas Berlesen (OBB) dan diberi kerja tetap seperti orang biasa, dah jadi yang bebas dan boleh hidup dalam masyarakat serta pendapatan yang tetap.
“Malah ada di antara mereka dapat membantu keluarga-keluarga mereka di kampung,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program PBSL Madani Yakin ‘Kepulangan Yang Dinanti’ sempena Hari Krismas yang menjelang tiba, di Penjara Puncak Borneo, di sini, pada Isnin.
Jelas beliau, seramai 55 orang prospek penjara seluruh Sarawak dibebaskan di bawah Program PBSL Madani Yakin sempena Hari Krismas yang menjelang tiba.
Daripada jumlah berkenaan, 12 prospek dari Penjara Puncak Borneo, sembilan dari Penjara Pusat Sri Aman, tujuh orang prospek dari Penjara Pusat Sibu, 13 dari Pusat Koreksional Bintulu dan 14 dari Penjara Pusat Miri.
Susulan pembebasan ini, beliau menegaskan kepada prospek untuk terus mematuhi arahan dan undang-undang sepanjang tempoh parol bagi mengelakkan mereka dimasukkan semula ke dalam penjara.
Untuk rekod, di seluruh Sarawak, seramai 30 OBB diserahkan kepada keluarga masing-masing, 20 OBB diserahkan kepada majikan manakala lima lagi OBB ditempatkan di rumah perantaraan.
Mengulas lanjut, Timbalan Komisioner Teyun menjelaskan statistik pelepasan PBSL Sarawak dari 2020 hinga November tahun ini adalah seramai 3,943 orang dengan jumlah pembatalan lesen hanya melibatkan 198 orang prospek iaitu bersamaan dengan 5.02 peratus sahaja.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada prospek untuk menggunakan peluang ini dengan sebaiknya untuk berubah dan kembali berbakti kepada keluarga dan masyarakat. -EDISI UKAS