Lampu Isyarat Pintar Simpang Jalan Wawasan Beroperasi 24 Disember Ini
MUKAH: Projek pemasangan lampu isyarat pintar di simpang Jalan Wawasan kini hampir siap sepenuhnya dengan tahap kemajuan 99 peratus dan dijangka mula beroperasi pada 24 Disember ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, baki kerja yang belum disiapkan hanya melibatkan kerja-kerja akhir seperti pembersihan kawasan, penandaan jalan serta pelarasan pengesan yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari.
“Pengoperasian awal lampu isyarat pintar ini amat penting bagi memastikan kelancaran aliran trafik menjelang musim perayaan Krismas, memandangkan peningkatan jumlah kenderaan keluar masuk ke Mukah sepanjang tempoh tersebut sehingga hujung tahun,” katanya semasa memantau kemajuan projek tersebut pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Residen Bahagian Mukah, Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) selaku agensi pelaksana, kementerian berkaitan di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) serta pihak kontraktor atas komitmen tinggi dalam memastikan projek ini disiapkan mengikut spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan.
Royston menjelaskan, sebelum ini projek tersebut berdepan cabaran melibatkan isu kabel bawah tanah dan utiliti yang memerlukan penyelarasan bersama pihak Sarawak Energy Supply Corporation (SESCO), namun, kerja-kerja pembinaan dapat diteruskan dengan segera selepas isu berkenaan berjaya diselesaikan.
Beliau turut memaklumkan, pihak kontraktor telah diminta untuk menambah baik kedudukan pengesan berdasarkan pengalaman pelaksanaan lampu isyarat pintar di Simpang Setia Raja, bagi memastikan sistem pengesanan kenderaan berfungsi dengan lebih efektif dan tidak menjejaskan kelancaran trafik.
Dengan siapnya projek ini, beliau berharap ia dapat meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di kawasan berkenaan yang sebelum ini dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlaku kemalangan, sekali gus memberi manfaat maksimum kepada pengguna jalan raya.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhammad Rizal Alias dan Setiausaha MDDM Abdul Razak.-EDISI UKAS