Dewan Datuk Dr Haji Hazland Bernilai RM500,000 Siap, Kemudahan Baharu Penduduk Kampung Tabuan Hilir
KUCHING: Dewan Datuk Dr Haji Hazland bernilai RM500,000 yang siap sepenuhnya selepas tempoh pembinaan selama sembilan bulan, kini menjadi kemudahan baharu kepada penduduk Kampung Tabuan Hilir di sini.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Datuk Dr Hazland Abang Hipni diberi penghormatan untuk merasmikan dewan serbaguna berkenaan pada Sabtu.
Dewan yang mampu menampung kira-kira 300 tetamu pada satu-satu masa itu dinamakan Dewan Datuk Dr Haji Hazland sebagai tanda penghargaan penduduk dan kepimpinan masyarakat setempat terhadap jasa serta sumbangan beliau dalam pembangunan kawasan Demak Laut, khususnya Kampung Tabuan Hilir.
Pembinaan dewan tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dengan menyediakan ruang yang lebih selesa dan sempurna untuk penganjuran pelbagai aktiviti serta majlis kemasyarakatan.
Antara aktiviti yang digalakkan dijalankan di dewan berkenaan merangkumi program kemasyarakatan, sosial, ekonomi, pendidikan, sukan, kebudayaan dan keagamaan yang akan meningkatkan perpaduan serta kesejahteraan masyarakat.
Penduduk Kampung Tabuan Hilir turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Dr Hazland di atas peruntukan besar yang disalurkan bagi merealisasikan pembinaan dewan tersebut.-EDISI UKAS