Festival Jabat Sejagat 2025 Perkukuh Perpaduan Persilatan Nusantara
KUCHING: Festival Jabat Sejagat 2025 menjadi platform penting dalam menyatukan perguruan persilatan serta memperkukuh nilai persaudaraan dan jati diri budaya Nusantara.
Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel berkata, konsep 'Jabat' yang melambangkan pertemuan dan kesediaan untuk saling memahami serta 'Sejagat' yang membawa makna keterbukaan tanpa sempadan menjadikan festival ini simbol penyatuan perguruan, bangsa dan wilayah berteraskan nilai adab, hormat dan kemanusiaan sejagat.
“Seni silat dan seni bela diri tradisional yang dipersembahkan di festival ini bukan sekadar pertunjukan gerak atau kekuatan fizikal.
“Ia adalah khazanah ilmu yang membentuk disiplin, akhlak, kebijaksanaan serta keseimbangan antara jasmani, emosi, intelek dan rohani.
"Inilah nilai-nilai yang telah membentuk peradaban masyarakat kita sejak dahulu, dan inilah nilai yang perlu terus diwariskan kepada generasi masa hadapan,” katanya ketika merasmikan festival berkenaan di Sarawak Sports Village (SSV), pada Jumaat.
Festival tersebut menghimpunkan kira-kira 650 peserta silat dan pegawai dari seluruh Sarawak, serta delegasi persilatan dari Kalimantan.
Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah menambah, dalam konteks pembangunan semasa, seni persilatan wajar dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem pembangunan insan dan masyarakat, khususnya dalam pembinaan sahsiah belia, kepimpinan akar umbi serta penyediaan saluran aktiviti sihat yang berteraskan budaya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penganjuran Festival Jabat Sejagat 2025 selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak di bawah kerangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 terutama dalam aspek pemerkasaan modal insan, pengukuhan identiti budaya, pembangunan ekonomi kreatif serta pelancongan berasaskan budaya dan komuniti.
Tambahnya, festival seumpama ini bukan sahaja memelihara warisan budaya tidak ketara, malah membuka peluang pertumbuhan ekonomi komuniti melalui penglibatan usahawan kecil, penggiat seni, vendor tempatan serta sektor hospitaliti dan pelancongan.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Rumpun Silat Sarawak (RSS), rakan strategik, agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat, para guru dan mahaguru persilatan serta seluruh warga kerja dan sukarelawan atas komitmen menjayakan festival berkenaan.
Beliau berharap Festival Jabat Sejagat akan terus berkembang sebagai acara tahunan berprestij serta menjadi rujukan di peringkat kebangsaan dan serantau dalam usaha memartabatkan seni persilatan dan warisan budaya Nusantara.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak Dato’ Dr. Wan Ali Tuanku Madhi, Timbalan Presiden Rumpun Silat Sarawak Dato’ Mohamad Yusnar Matalie serta Pengerusi Pengelola merangkap Naib Presiden I Guru Utama Mohamed Alli.-EDISI UKAS