209 Unit Rumah Fasa Pertama Sungai Berdaun Hampir Sepenuhnya Diduduki
KUCHING: Projek Perumahan Sungai Berdaun yang melibatkan 209 unit rumah bagi fasa pertama kini hampir sepenuhnya diduduki oleh penduduk yang layak.
Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Saiful Bahari Amra Ramly berkata, unit rumah berkenaan disediakan kepada ketua keluarga tambahan daripada Projek Darul Hana yang diberi peluang untuk memiliki kediaman sendiri.
“Bagi 209 unit rumah fasa pertama, ia telah pun hampir sepenuhnya diduduki oleh penduduk khususnya ketua keluarga tambahan daripada Projek Darul Hana, yang diberi peluang untuk membeli rumah di Sungai Berdaun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Fiesta Bowling LCDA Bersama Media 2025 di Megalanes Sarawak, Batu Kawa di sini, pada Sabtu.
Saiful Bahari mendedahkan, fasa kedua Projek Perumahan Sungai Berdaun dijangka bermula pada tahun hadapan, namun ia bergantung kepada keadaan semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa beberapa projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) lain turut sedang dilaksanakan di Gedong, Sebuyau dan Lawas, dengan jangkaan beberapa projek siap dibina pada tahun hadapan.
Beliau menjelaskan bahawa kesemua projek perumahan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan LCDA dalam membantu Kerajaan Sarawak menyediakan perumahan mampu milik, khususnya kepada keluarga yang masih belum memiliki rumah sendiri.
Menurutnya, LCDA bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Tanah dan Survei, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) serta Mutiara Mortgage bagi memastikan perumahan yang dibina lengkap dengan kemudahan asas, utiliti dan infrastruktur.-EDISI UKAS