Karnival Sukan SABERKAS Kuala Rajang Eratkan Perpaduan Ahli dan Keluarga
BELAWAI: Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) Cawangan N.41 Kuala Rajang menjadi platform berkesan dalam memperkukuh perpaduan serta semangat kerjasama dalam kalangan ahli dan keluarga masing-masing.
Program tahunan anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) itu berlangsung di Iftitah Beach Resort, Belawai dengan penyertaan aktif ahli-ahli daripada pelbagai peringkat umur.
Antara aktiviti yang dianjurkan ialah bola sepak pantai, sukaneka, senamrobik zumba, tarik tali, penyediaan bubur lambuk dan klinik memanah tradisional yang menerima sambutan menggalakkan.
Karnival tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pemuda Kuala Rajang Mornurazli Morshidi mewakili Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang serta Pengerusi SABERKAS Cawangan Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh.
Penganjuran karnival ini bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah berperanan mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat setiakawan dalam kalangan ahli.-EDISI UKAS