RM5 Juta Diperuntuk Bangunkan Projek Sawah Padi Di Pusa
PUSA: Kawasan Muton Kara, Undai bakal menyaksikan pembangunan baharu dalam sektor pertanian apabila sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi membangunkan projek sawah padi.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor, inisiatif itu bukan sahaja untuk meningkatkan pengeluaran padi di kawasan berkenaan, malah menjadi antara usaha memperkukuh ekonomi penduduk setempat melalui pelbagai sumber berasaskan pertanian.
"Melalui pelbagai sumber berasaskan pertanian di kawasan, Beting Maro sesuai dijadikan tempat mengeluarkan hasil serta produk tempatan untuk Sarawak,” katanya ketika berucap dalam Program Krismas Dan Sambutan Ambang Tahun Baharu di rumah panjang Muton Kara, Undai, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, pihaknya akan merancang program dan aktiviti untuk tahun akan datang bagi mengukuhkan ekonomi kawasan Beting Maro serta meningkatkan pendapatan.
Dalam pada itu, Dato Razaili memberitahu, Sarawak bertuah mempunyai pelbagai kaum, pelbagai bangga serta etnik dapat hidup dalam keadaan aman, damai dan sejahtera.
Justeru, beliau menyeru agar penduduk Beting Maro mengekalkan budaya serta terus meningkatkan taraf hidup dengan pelbagai program serta sentiasa mengubah kehidupan untuk mencapai matlamat yang akan datang.
“Jika kita bersatu, kita boleh mencapai kemajuan serta Sarawak terus mencapai pendapatan yang baik,” tegasnya. -EDISI UKAS