Sarawak Perkukuh Agenda Pembangunan Menjelang 2026
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan negeri secara menyeluruh menjelang Tahun Baharu 2026, selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030 yang kini semakin hampir direalisasikan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, dengan tempoh pelaksanaan yang berbaki kurang daripada lima tahun, semua pihak perlu terus meningkatkan usaha serta berganding bahu bagi memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
“Kita perlu memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat, mempertingkat kecekapan pelaksanaan projek, serta memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus
pembangunan.
"Hanya melalui kerjasama, kesepaduan dan komitmen bersama, kita dapat merealisasikan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan semangat perpaduan, toleransi dan keharmonian dalam kalangan rakyat Sarawak, memandangkan kestabilan sosial dan politik merupakan asas utama kepada kemajuan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.
Mengulas hala tuju Kementerian Pengangkutan Sarawak bagi tahun 2026, beliau berkata kementerian akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sistem pengangkutan yang lebih selamat, moden, inklusif dan berkesan merangkumi sektor darat, udara, sungai dan maritim.
“Pada tahun 2026, tumpuan utama kementerian adalah untuk meningkatkan mobiliti rakyat serta menyokong pertumbuhan sosio-ekonomi di seluruh Sarawak — termasuk kawasan luar bandar.
"Ini merangkumi pelaksanaan projek seperti sistem ART di Kuching, persediaan pengoperasian AirBorneo, peningkatan keselamatan jalan raya serta pemerkasaan kemudahan logistik dan perkhidmatan pengangkutan rakyat,” ujarnya lagi.
Selain itu, sektor pengangkutan sungai dan maritim akan terus dipertingkatkan bagi memastikan aksesibiliti, keselamatan dan kecekapan perkhidmatan kepada komuniti pesisir serta kawasan pedalaman.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sarawak agar melangkah ke Tahun Baharu 2026 dengan semangat dan tekad baharu untuk bersama-sama membina Sarawak yang lebih maju, makmur dan mampan, sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat Sarawak dengan harapan tahun baharu ini membawa kesejahteraan dan keberkatan berterusan.