SIBU: Kerajaan komited memperkukuh promosi Visit Malaysia 2026 (VM2026) sebagai platform meningkatkan perpaduan nasional dan memperluaskan jaringan pelancongan negara ke peringkat antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Tiong King Sing berkata, sektor pelancongan terus menunjukkan prestasi memberangsangkan menyaksikan angka kemasukan pelawat setakat bulan Oktober hingga November telah menghampiri 80 juta, jauh melepasi pencapaian tahun sebelumnya jauh melepasi sasaran awal sekitar 38 juta pelawat.
Secara keseluruhan ujarnya, Malaysia menyasarkan sehingga RM300 juta dari segi hasil berkaitan pelancongan.
“Fingers crossed, kita berharap menjelang 2026, Malaysia mampu menarik lebih daripada 40 juta pelancong antarabangsa,” katanya ketika sidang media sempena Sibujaya Countdown 2025 di Azman Hashim Community Sports Centre pada Isnin.
Mengulas fokus utama VM2026, Dato’ Sri Tiong menekankan kepentingan memupuk perpaduan dan keharmonian nasional.
Beliau menyeru rakyat Malaysia agar menghormati budaya dan kepercayaan antara satu sama lain serta mengelakkan isu kebudayaan dijadikan polemik politik atau agama.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bintulu itu menjelaskan, penganjuran acara seperti Sibujaya Countdown 2025 berperanan sebagai platform penting untuk mempromosikan budaya, makanan tradisional, persembahan seni, penglibatan belia serta aktiviti moden seperti e-sukan, sekali gus mencerminkan kepelbagaian dan keterangkuman masyarakat Malaysia.
“Dalam aspek promosi makanan dan warisan budaya, saya menggalakkan semua kaum dan negeri menampilkan identiti masing-masing, termasuk makanan Melayu, Iban, Bidayuh, Cina dan lain-lain, agar pelawat dapat memahami dan menghargai kekayaan budaya negara,” ujarnya. -EDISI UKAS