Sukaneka Kampung Tanjung Kelaso Eratkan Perpaduan Komuniti
SADONG JAYA: Penganjuran Sukaneka Kampung Tanjung Kelaso menjadi platform berkesan dalam memperkukuh silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata program seumpama itu bukan sahaja berfungsi sebagai aktiviti riadah, malah berperanan sebagai benteng sosial yang positif, khususnya dalam membimbing golongan belia ke arah penglibatan komuniti yang sihat dan berfaedah.
“Aktiviti sukaneka menjadi medium terbaik untuk menyatukan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia, di samping menyemai nilai murni seperti semangat kesukanan, disiplin dan toleransi,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Khasnya, Raffendy Ariffen, sempena Majlis Perasmian dan Penangguhan Sukaneka Kampung Tanjung Kelaso yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat muafakat di Padang Futsal Kampung Tanjung Kelaso, pada Selasa.
Menurut Awla, penganjuran program tersebut memberi ruang kepada masyarakat kampung untuk berinteraksi secara langsung, sekali gus mengukuhkan hubungan antara generasi muda dan golongan dewasa dalam suasana harmoni.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, Pusat Khidmat ADUN N.25 Simunjan sentiasa terbuka dalam menerima pandangan serta keperluan rakyat demi kesejahteraan bersama, di samping berharap penglibatan golongan belia dan wanita dapat terus diperkasakan dalam penganjuran program kemasyarakatan pada masa akan datang.
Awla menekankan bahawa kejayaan sebenar sesuatu program bukan diukur melalui kemenangan pertandingan semata-mata, sebaliknya melalui semangat kebersamaan dan perpaduan yang berjaya dipupuk sepanjang program berlangsung. -EDISI UKAS