Sayap Belia SUPP Bawang Assan Santuni Warga Sibu Benevolent Society
SIBU: Sayap Belia Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan memulakan aktiviti khidmat masyarakat pertamanya bagi tahun 2026 dengan mengadakan lawatan ke Sibu Benevolent Society, di sini, pada Jumaat.
Lawatan yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi itu melibatkan seramai 20 orang ahli dan diketuai oleh Ketua Sayap Belia SUPP Cawangan Bawang Assan, Kapitan Chew Hoo Kiong.
Turut hadir ialah Setiausaha Sayap Belia, Kaunselor Yong Ing Hock, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tang Sieu Hung serta Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan merangkap Pengerusi Belia Pusat SUPP dan Ahli Majlis Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie.
Dalam ucapannya, Kaunselor Kevin Lau menyatakan harapan agar Sayap Belia SUPP terus peka terhadap keperluan masyarakat serta aktif melaksanakan lebih banyak program kebajikan dan khidmat masyarakat.
Beliau juga menegaskan bahawa SUPP Cawangan Bawang Assan akan terus mengekalkan hubungan rapat dengan masyarakat melalui pelbagai inisiatif kebajikan bagi membawa impak positif kepada komuniti setempat.
Sementara itu, wakil Sibu Benevolent Society merakamkan penghargaan atas lawatan dan sumbangan yang diberikan serta berharap agar persatuan tersebut terus menerima perhatian dan sokongan masyarakat, khususnya bagi menampung perbelanjaan operasi dan keperluan asas.
Sepanjang lawatan, ahli-ahli Sayap Belia SUPP turut diberi pendedahan mengenai operasi harian persatuan serta keperluan semasa mereka, selain menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian dan bekalan makanan.