Persediaan Awal, Penambahan Stok Berterusan Pastikan Bekalan Mangsa Banjir Kekal Mencukupi
KUCHING: Bekalan makanan dan keperluan asas bagi mangsa banjir di Sarawak dijamin mencukupi, dengan persediaan awal dan penambahan stok secara berterusan bagi menampung keperluan mangsa sekiranya berlaku peningkatan pemindahan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Nancy Shukri berkata, pangkalan hadapan dan depot simpanan bekalan bencana telah diaktifkan lebih awal bagi memastikan bantuan dapat disalurkan tanpa kelewatan.
“Semua persediaan telah dibuat lebih awal. Sekiranya bekalan dikeluarkan, kita akan terus menambah supaya tidak berlaku kekurangan, khususnya dari segi makanan, minuman dan keperluan asas mangsa,” katanya selepas melawat ke PPS Surau Ar-Rahman, Kampung Sungai Batu, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, Sarawak mempunyai beberapa depo simpanan bekalan bencana termasuk di Limbang, Kuching dan Samarahan, selain mini depo di lokasi strategik yang berada dalam keadaan siap siaga.
Selain keperluan fizikal, Dato Sri Nancy memberitahu, aspek sokongan emosi turut diberi perhatian melalui penglibatan Pasukan Sokongan Psikososial (PST) yang melibatkan kira-kira 270 anggota, selain 230 sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan mangsa, khususnya kanak-kanak, tidak mengalami tekanan emosi sepanjang berada di PPS, termasuk melalui pelaksanaan aktiviti sokongan dan kaunseling.
Mengulas mengenai kapasiti PPS, beliau berkata secara keseluruhan, negara mempunyai 9,058 PPS berdaftar yang mampu menempatkan sehingga dua juta mangsa, melibatkan dewan masyarakat dan sekolah yang sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.
Beliau turut menegaskan bahawa pembukaan dan pengoperasian PPS dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan bagi memastikan keselamatan mangsa, selain menggalakkan orang ramai untuk berpindah dan mendaftar sekiranya kawasan kediaman terjejas banjir.
Dato Sri Nancy berkata usaha kesiapsiagaan tersebut dilaksanakan secara bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan, agensi keselamatan serta pegawai kerajaan yang dibekukan cuti bagi memastikan pengurusan bencana berjalan lancar.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini aktif di Sarawak dengan 1,181 mangsa daripada 304 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan terjejas akibat banjir setakat ini.
“PPS di Dewan Masyarakat Stapok menempatkan seramai 178 mangsa, manakala Dewan Sinar Budi mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 208 mangsa.
“Di Surau Ar-Rahman, Kampung Sungai Batu, terdapat 52 mangsa, manakala Surau Nurul Najihin di Kampung Stapok menempatkan 56 mangsa.
“Dewan Serbaguna Taman Malihah pula menempatkan 163 mangsa, SJKC Chunghua Sungai Tengah 179 mangsa, dan SJKC Chung Hua Batu Kawa 205 mangsa serta PPS Masjid Darul Istiqlal, Kampung Sungai Maong, pula menempatkan tujuh mangsa,” jelasnya.
Tambahnya, Bahagian Samarahan menyaksikan satu PPS aktif iaitu Dewan Suarah Samarahan yang menempatkan 23 mangsa daripada lapan KIR, manakala PPS Dewan Masyarakat Trusan menempatkan 39 mangsa melibatkan tujuh KIR.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah.-EDISI UKAS