Lapangan Terbang Tanjung Manis Terima Penerbangan Sulung AirBorneo
TANJUNG MANIS: Sejarah baharu tercipta apabila pesawat AirBorneo berjaya mendarat buat pertama kalinya di Lapangan Terbang Tanjung Manis hari ini, sekali gus menandakan permulaan operasi rasmi syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak ke destinasi tersebut.
Ketibaan penerbangan sulung itu pada jam 9.20 pagi tadi disambut oleh Ahli Parlimen Tanjong Manis Dato Ir Yusuf Abdul Wahab bersama ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua kaum dan masyarakat setempat di Lapangan Terbang Tanjung Manis.
Menurut Dato Ir Yusuf, tarikh 2 Januari ini merupakan tarikh yang amat bermakna buat penduduk setempat dan pembangunan wilayah Tanjung Manis.
“Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi Lapangan Terbang Tanjung Manis kerana tepat jam 9.20 pagi tadi, kita telah menerima penerbangan sulung Air Borneo ke Tanjung Manis,” katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Beliau berharap perkhidmatan penerbangan tersebut dapat diteruskan dan diperkembangkan pada masa hadapan, termasuk menggunakan pesawat yang lebih besar seperti ATR bagi meningkatkan kapasiti penumpang dan kecekapan operasi.
Pada masa ini, jadual penerbangan AirBorneo melibatkan satu penerbangan sehari dari Kuching ke Tanjung Manis dan penerbangan balik ke Kuching, menggunakan pesawat jenis Twin Otter yang berkapasiti 16 orang penumpang.
AirBorneo mencatat sejarah tersendiri sebagai satu-satunya syarikat penerbangan milik kerajaan negeri di Malaysia yang memulakan operasi secara rasmi pada tahun 2026, selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh jaringan pengangkutan udara dan pembangunan wilayah.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Ir Yusuf turut memaklumkan bahawa projek pembesaran Lapangan Terbang Tanjung Manis yang telah diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijangka meningkatkan keupayaan lapangan terbang tersebut untuk menerima pesawat yang lebih besar serta menampung jumlah penumpang yang lebih ramai.
Selain itu, beliau menyatakan harapan agar laluan penerbangan dapat diperluaskan ke destinasi lain seperti Mukah, Bintulu, Miri, malah ke Kuala Rajang serta destinasi luar negara pada masa hadapan, sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan di kawasan tersebut. -EDISI UKAS