Mukah Terima Penerbangan Sulung AirBorneo, Akses Udara Diperkukuh
MUKAH: Usaha Kerajaan Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri kini memberi impak langsung kepada rakyat sekali gus memperkukuh akses pengangkutan udara khususnya kepada penduduk luar bandar apabila penerbangan sulung AirBorneo selamat mendarat di Lapangan Terbang Mukah, pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata pendaratan bersejarah itu membuktikan kejayaan Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Menurutnya, inisiatif tersebut mencerminkan kesungguhan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam memastikan kemudahan perhubungan udara yang lebih cekap dan selesa dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Selain bergantung kepada pengangkutan darat, rakyat di Mukah kini mempunyai pilihan pengangkutan udara yang lebih efisien, sekali gus memudahkan pergerakan dan urusan harian,” katanya ketika ditemui media.
Sehubungan itu, katanya, kewujudan AirBorneo bukan sahaja meningkatkan mobiliti penduduk luar bandar, malah membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta merancakkan sektor pelancongan di kawasan berkenaan.
Pada masa sama, Royston memaklumkan bahawa penduduk tempatan juga bersedia menerima kehadiran pelancong, dengan pelbagai cadangan dan projek pembangunan pelancongan sedang dirancang serta dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Antara perancangan yang dicadangkan termasuk pembangunan kemudahan pelancongan di kawasan pantai Mukah seperti medan selera dan ruang rekreasi bagi menarik pelancong dari luar kawasan.
Sementara itu, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi yang turut menaiki penerbangan sulung AirBorneo ke Mukah menyifatkan penerbangan tersebut sebagai satu detik bersejarah buat penduduk Mukah.
Menurut beliau, perkhidmatan dan layanan yang disediakan sepanjang penerbangan adalah memuaskan, selain keadaan kabin yang selesa serta pakaian seragam kru AirBorneo yang kemas dan menarik.
Terdahulu, penerbangan sulung AirBorneo membawa seramai 55 orang penumpang dari Kuching dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Mukah pada jam 9.20 pagi.
Hadir sama, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Pengurus Lapangan Terbang Mukah Naufal Gelong dan Ketua Polis Daerah Mukah DSP Rizal Alias. -EDISI UKAS