Majlis Tahun Baharu Perkukuh Hubungan Komuniti Kampung Jabai
BINTULU: Majlis Makan Malam Tahun Baharu 2026 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Jabai berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat perpaduan di Kemena Plaza Hotel, di sini, pada Rabu.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Ts. Johnny Pang Leong Ming, serta Ketua Kampung Jabai, Johny Simon.
Dalam ucapannya, Johnny Pang menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur dan seluruh penduduk Kampung Jabai atas kerjasama serta sokongan berterusan yang diberikan dalam usaha membangunkan komuniti setempat.
Beliau berkata, kemajuan dan perubahan positif yang dapat dilihat di Kampung Jabai pada masa kini merupakan hasil kerjasama erat, semangat gotong-royong serta komitmen semua pihak.
“Segala pencapaian ini bukan hasil usaha seorang individu, sebaliknya kejayaan bersama hasil sokongan dan perpaduan seluruh warga kampung,” katanya.
Tambah beliau, selagi diberi amanah sebagai wakil rakyat, keutamaan akan terus diberikan kepada pembangunan komuniti, penambahbaikan kemudahan awam, keselamatan kawasan serta kebajikan rakyat.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan harapan agar kawasan Bintulu sentiasa dilindungi daripada sebarang bencana, khususnya banjir.
Majlis tersebut turut dihadiri pemimpin komuniti, ahli JKKK dan KRT serta penduduk Kampung Jabai.
Johnny Pang juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada semua yang hadir dengan harapan tahun baharu membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada masyarakat setempat.