Warisan Budaya, Seni Kreatif Perlu Terus Dipelihara
PUSA: Warisan budaya dan seni kreatif seperti gendang Melayu perlu terus dipelihara sebagai identiti masyarakat agar tidak hilang ditelan zaman, khususnya di kawasan Beting Maro yang kaya dengan budaya dan adat resam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, pemeliharaan warisan budaya merupakan satu tanggungjawab bersama dan perlu dikekalkan seiring dengan usaha membangunkan komuniti setempat.
“Warisan budaya mahupun seni kreatif seperti gendang Melayu merupakan identiti yang perlu dijaga dan dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman.
“Kawasan Beting Maro kaya dengan budaya dan adat yang merupakan satu warisan yang perlu dikekalkan,” katanya berucap pada program Pertandingan Bertandak dan Majlis Penyampaian 40 bakul makanan kepada golongan asnaf di Kampung Tambak, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dato Razaili berkata Kampung Tambak mempunyai potensi besar untuk dimajukan melalui industri berasaskan nipah atau apong, termasuk perancangan pembinaan sebuah kilang bagi mengembangkan produk berkenaan.
Menurutnya, produk berasaskan nipah atau apong merupakan produk bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan serta memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar.
Tambah beliau, usaha mendapatkan teknologi terkini turut dirancang bagi mempercepatkan proses penghasilan produk berasaskan nipah atau apong serta meningkatkan kualitinya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pertubuhan dan koperasi di Kampung Tambak agar bergerak aktif serta bekerjasama dalam mengurus dan menyelaras ekonomi komuniti di kawasan berkenaan.
Dalam aspek pembangunan, beliau berkata pelbagai projek yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak telah memberi kemudahan kepada penduduk Beting Maro, termasuk pembinaan Jambatan Batang Saribas 1 yang memendekkan masa perjalanan dan memudahkan aktiviti harian.
Beliau turut menegaskan kepentingan perpaduan komuniti dengan meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tambak agar merancang program yang dapat menyatupadukan penduduk setempat.
"Kita pastikan bahawa di masa yang akan datang, kita lebih maju dan kehidupan kita lebih baik,” ujarnya.
“Dengan adanya pembangunan, kita di kawasan ini sangat mudah untuk menjalankan aktiviti harian. Jambatan Batang Saribas 1 juga telah dapat digunakan dengan baik. Ini membuktikan masa perjalanan kita akan jadi singkat dariapda sebelum ini.”
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang sentiasa berusaha memastikan Sarawak terus maju dan makmur, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan luar bandar.-EDISI UKAS