Kebajikan Mangsa Banjir Keutamaan Kerajaan Sarawak
KUCHING: Penyediaan bantuan makanan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJK (C) Chung Hua Batu Kawa terbukti amat membantu dan meringankan beban mangsa banjir yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat bencana berkenaan.
Menurutnya salah seorang mangsa banjir Rosbaita Winnie, 51 tahun, penyediaan makanan yang teratur juga membolehkan mangsa memberi tumpuan kepada keselamatan diri dan keluarga tanpa perlu memikirkan soal keperluan asas harian.
“Syukur Alhamdulillah, kerana memudahkan bagi kami yang tiada kesempatan untuk menyediakan barang rumah. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada YB dan pihak badan bukan kerajaan menyediakan kemudahan asas untuk kami di sini.”
Bagi Minah Ap, 56 tahun, dari Kampung Rantau Panjang Hilir, pengalaman berada di PPS menjadi detik mencabar apabila banjir memaksa dia dan keluarga meninggalkan kediaman demi keselamatan.
“Untuk buat masa sekarang keadaan banjir adalah terkawal. Saya berharap keadaan banjir tidak semakin teruk. Sebelum ini saya mengalami kurang tidur akibat kerja-kerja mengemas rumah berikutkan peningkatan paras air yang mendadak”
Beliau juga turut menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang disalurkan kerajaan serta agensi berkaitan sepanjang berada di PPS.
“Saya bersyukur dengan kerajaan sekarang kerana menyediakan kebajikan makanan yang mencukupi pada setiap waktu”
Setakat hari ini, seramai 54 keluarga melibatkan 211 mangsa ditempatkan di PPS SJK (C) Chung Hua Batu Kawa susulan kejadian banjir yang melanda kawasan berkenaan.- EDISI UKAS