Kelancaran Pengurusan Di Pusat Pemindahan Sementara Dipantau
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak memberi tumpuan khusus terhadap kelancaran pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menerusi satu lawatan kerja ke PPS Dewan Suarah Kota Samarahan pada Sabtu.
Lawatan yang diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu bagi memastikan kebajikan mangsa banjir terurus dengan baik dan berkesan.
Turut sama menyertai lawatan ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Lawatan ini bertujuan menilai secara langsung kecekapan penyelarasan operasi PPS serta tahap kesiapsiagaan agensi-agensi terlibat.
Sepanjang lawatan, perhatian diberikan kepada aspek pengurusan harian PPS termasuk penyampaian bantuan, penyediaan makanan, kebersihan, kemudahan asas serta pengurusan keselamatan bagi memastikan mangsa berada dalam keadaan selesa dan selamat sepanjang tempoh pemindahan.
Setakat jam 12 tengahari tadi, PPS Dewan Suarah Kota Samarahan menempatkan seramai 26 mangsa daripada lapan keluarga yang terjejas akibat banjir di kawasan sekitar.
Pengurusan PPS dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sokongan bersepadu daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan RELA.
Kerjasama pelbagai agensi ini memastikan operasi PPS berjalan lancar serta sebarang keperluan mangsa dapat ditangani dengan segera.
Kerajaan negeri menegaskan pemantauan berterusan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengurusan PPS kekal cekap dan responsif, selaras dengan perkembangan situasi banjir sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya. - EDISI UKAS