JPBNS Kekal Bersiap Siaga Hadapi Kemungkinan Gelombang Banjir Seterusnya
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) kekal berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya, meskipun keadaan cuaca di beberapa kawasan ketika ini dilaporkan semakin baik.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, semua agensi telah diarahkan untuk terus bersiap siaga serta memantau rapi kawasan berisiko tinggi, khususnya di kawasan rendah yang kerap dilanda banjir.
Menurut beliau, walaupun terdapat mangsa yang telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing susulan paras air yang mulai surut, situasi semasa masih memerlukan tahap kewaspadaan yang tinggi berikutan faktor cuaca yang tidak menentu.
“Ini mungkin fasa pertama banjir. Kita berharap tidak berlaku gelombang seterusnya, namun berdasarkan unjuran, keadaan ini berpotensi berlarutan sehingga sekitar bulan Mac. Oleh itu, semua pihak perlu sentiasa bersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Sungai Tengah pada Sabtu.
Datuk Amar Douglas Uggah turut menegaskan kepentingan penduduk mematuhi arahan berpindah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi keselamatan nyawa, memandangkan peningkatan paras air boleh berlaku dalam tempoh singkat, terutamanya apabila hujan lebat bertembung dengan fenomena air pasang besar.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua agensi berkaitan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) terus menjalankan pemantauan berterusan di kawasan berisiko dan sungai-sungai utama.
Tambahnya, semua JPBNS di peringkat bahagian turut diarahkan memastikan PPS berada dalam keadaan siap sedia, termasuk aspek kebersihan, kemudahan, bekalan makanan dan keperluan asas bagi menempatkan mangsa sekiranya berlaku pemindahan tambahan.
Terdahulu, Datuk Amar Douglas Uggah telah meninjau PPS Surau Ar-Rahman Kampung Sungai Batu yang dibuka pada 1 Januari 2026 bagi melihat sendiri keadaan semasa serta kebajikan seramai 52 mangsa daripada 12 keluarga yang terjejas.
Selain itu, beliau turut membuat tinjauan ke PPS Masjid Darul Istiqlaal Kampung Sungai Maong yang kini menempatkan 128 mangsa banjir terdiri daripada 26 keluarga.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Hazrin Sunaini & Muhammad Rais Sanusi