KCFC 'Cakar' KTRW, Kekal Di Tangga Kedua Liga Super
KOTA BHARU: Kuching City FC (KCFC) mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super 2025/2026 selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan The Red Warrior (KTRW) FC dalam aksi berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, pada Jumaat.
Kemenangan itu memastikan KCFC mengekalkan rekod tanpa kalah sebanyak 11 perlawanan dan kini mengumpul 28 mata dari 13 perlawanan.
Perlawanan dimulakan dengan penuh garang apabila percubaan bahaya oleh Moses Atende pada minit ke-15 yang menendang deras bola dari luar kotak penalti namun diselamatkan oleh penjaga gawang KTRW Damyanov Damyan Valeriy yang berjaya menepis keluar bola tersebut.
Biarpun tuan rumah menguasai perlawanan namun Daniel Amier berjaya mencetakkan gol tunggal pada minit ke-20 perlawanan apabila berjaya menyambar umpanan Joao Pedro.
KTRW terus mengatur corak permainan namun penyudah tumpul mensia-siakan usaha mereka, ditambah dengan aksi cemerlang Haziq Nadzli yang berjaya memintas beberapa 'through ball'.
Separuh masa kedua pula menyaksikan KCFC mula mengawal perlawanan dengan lebih baik namun KTRW yang beraksi di hadapan penyokong sendiri tidak tunduk kepada The City Boys.
Sebaliknya, kubu KCFC dibentengi Rodney Celvin dan rakan lain menidakkan serangan berbahaya Syaahir Saiful Nizam pada minit ke-56 yang menerima umpanan bahaya.
KTRW terus menggasak pertahanan KCFC dan hampir menembusi gawang pada minit ke-83 menerusi rembatan deras luar kotak penalti Nor Azam Abdul Azim namun tangkas ditepis keluar Haziq Nadzli. -EDISI UKAS