Program PENDAYA-PERANTIS Disesuaikan Dengan Konteks & Keperluan Usahawan Wanita Dayak
KUCHING: Program PENDAYA yang akan diadakan pada 12 dan 13 Januari ini di Dayak Chamber Of Commerce & Industry (DCCI), merupakan salah satu contoh pelaksanaan Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) yang disesuaikan dengan konteks dan keperluan wanita di Sarawak, khususnya dalam kalangan usahawan wanita Dayak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, bengkel kepimpinan dua hari itu akan melibatkan 50 usahawan wanita Dayak, termasuk peserta baharu dan yang berpengalaman, dengan fokus kepada pembangunan kemahiran kepimpinan, pembuatan keputusan strategik, komunikasi berkesan serta pementoran dan rangkaian perniagaan.
Menurutnya, wanita Sarawak mempunyai potensi besar sebagai pemimpin komuniti, penggerak ekonomi setempat dan penjaga warisan budaya apabila diberikan peluang, latihan serta sokongan yang sesuai.
"Dengan pendedahan, latihan dan sokongan yang betul, wanita Sarawak mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, sosial dan budaya serta menunjukkan bakat dan kreativiti mereka di pentas tempatan mahupun antarabangsa.
"Program seperti PENDAYA dan PERANTIS bukan sekadar latihan, tetapi usaha membina keyakinan, kepimpinan dan keupayaan wanita untuk bergerak seiring dengan perubahan teknologi dan ekonomi baharu,"katanya dalam Sidang Media PENDAYA, anjuran Persatuan Rangkaian Pemberdayaan Wanita dan Kelestarian (WESNA) Kuching dan DCCI, di sini pada Sabtu.
Menjelas lanjut, Dato Sri Nancy memberitahu, PERANTIS merupakan inisiatif kementeriannya melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) untuk membangunkan kepimpinan wanita dalam pelbagai bidang.
"Sehingga 2025, program ini telah melaksanakan 100 inisiatif di seluruh negara dengan penglibatan 4,770 peserta wanita daripada pelbagai latar belakang.
"Di Sarawak sahaja, sebanyak 11 program telah dilaksanakan dengan 640 peserta, membuktikan komitmen kerajaan untuk pembangunan kepimpinan wanita secara inklusif dan seimbang,”ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar wanita Sarawak dapat merebut peluang sedia ada dan tampil sebagai pemimpin mahupun peneraju ekonomi digital, memandangkan cabaran utama yang dihadapi bukanlah kekurangan bakat, sebaliknya kekangan peluang.
Turut serta dalam sidang media berkenaan ialah Presiden DCCI Dato Allan Keripin Nangkai, Timbalan Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak merangkap Ahli Majlis Wanita Malaysia Dato' Angelina Celestine Ujang, Penasihat Khas DCCI Dato Sri Joseph Salang Gandum, Pengurus DCCI yang juga Presiden WESNA Kuching Dr Carolina Sandra Giang, Penasihat Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Datu Dr. Rashidah Bolhassan dan beberapa kenamaan lain. -EDISI UKAS