BEM Trinity Hub Church Terima Peruntukan UNIFOR Berjumlah RM120,000
KUCHING: Borneo Evangelical Mission (BEM) Trinity Hub Church menerima peruntukan sebanyak RM120,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Cek peruntukan berkenaan telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang dalam satu majlis yang diadakan pada Ahad.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memupuk keharmonian dan persefahaman antara penganut pelbagai agama di negeri ini.
Menurutnya, sumbangan tersebut merupakan bukti nyata sokongan kerajaan terhadap pembangunan rumah ibadat bukan Islam, selaras dengan usaha meningkatkan kualiti kemudahan ibadat serta kesejahteraan komuniti setempat.
Dato Ir Lo turut menekankan kepentingan kerjasama dan keharmonian dalam masyarakat berbilang agama, sambil menyatakan bahawa inisiatif seumpama ini mampu memperkukuh hubungan antara komuniti serta menyumbang kepada kestabilan sosial negeri.
Dana yang diterima akan dimanfaatkan bagi pelbagai projek pembangunan gereja, termasuk kerja naik taraf kemudahan ibadat, penambahbaikan keselesaan dan aksesibiliti jemaah, serta pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang bertujuan merapatkan hubungan antara ahli komuniti.-EDISI UKAS