Pertandingan Bertandak Gendang Melayu Sarawak Lestarikan Warisan Budaya Tempatan
PUSA: Pertandingan Bertandak Gendang Melayu Sarawak yang diadakan sempena Beladin Countdown 2026 menjadi platform penting dalam usaha melestarikan seni budaya tradisional Melayu Sarawak serta memperkenalkan keunikannya kepada masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor berkata, penganjuran program tersebut bukan sahaja memelihara adat dan warisan budaya, malah memperkenalkan keunikan serta keindahan seni bertandak gendang Melayu Sarawak kepada masyarakat pelbagai lapisan.
Menurut beliau, Sarawak memiliki kepelbagaian budaya dan adat resam yang perlu dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman, sejajar dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh identiti budaya serta produk pelancongan warisan.
"Kesenian ini perlu dikekalkan kerana ianya merupakan warisan harta yang bernilai untuk masyarakat melayu Sarawak,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Bertandak sempena Beladin Countdown 2026 di Dataran Temenggung Kadir, Beladin pada Sabtu.
Tambah beliau, pertandingan tersebut turut menampilkan pelbagai persembahan seni tradisional Sarawak yang mencerminkan keharmonian dan kesatuan komuniti berbilang kaum, selain mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Beliau menegaskan bahawa program seumpama ini wajar diteruskan kerana mampu mengeratkan hubungan silaturahim serta menyerlahkan keunikan dan keistimewaan kepelbagaian budaya di kawasan ini.
Pertandingan tersebut menyaksikan Rentak Warisan Semarang muncul sebagai johan bagi Kategori Bertandak Berpasangan Kanak-Kanak, diikuti Warisan Beladin sebagai naib johan dan Khazanah Beladin di tempat ketiga.
Bagi kategori dewasa pula, Seni Warisan dinobatkan sebagai johan, manakala Selendang Mayang meraih naib johan dan Lenggok Tradisi menduduki tempat ketiga.-EDISI UKAS