PETRONAS Youth Football Championship League 2025 Lahirkan Bakat Bola Sepak Muda Sarawak
KUCHING: Usaha berterusan PETRONAS dalam menyediakan platform pembangunan sukan kepada belia Sarawak menerusi Petronas Youth Football Championship League 2025 (PYFCL 2025) disifatkan sebagai satu inisiatif amat bermakna dalam mencungkil bakat serta membentuk jati diri generasi muda negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penganjuran kejohanan tersebut bukan sekadar tertumpu kepada kemenangan atau kekalahan, sebaliknya menekankan penglibatan menyeluruh semua pihak dalam ekosistem pembangunan sukan bola sepak.
Menurut beliau, sokongan padu ibu bapa yang hadir memenuhi stadium jelas membuktikan peranan besar institusi keluarga dalam membentuk kejayaan seseorang atlet, khususnya dalam kalangan pemain muda berusia antara 14 hingga 16 tahun.
“Di sebalik kejayaan seorang ahli sukan, terdapat sokongan berterusan daripada ibu bapa. Sorakan dan kehadiran mereka malam ini membuktikan komitmen serta semangat yang luar biasa terhadap pembangunan anak-anak dalam bidang sukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan dan Penyampaian Hadiah Petronas Youth Football Championship League 2025 yang berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada Sabtu.
Beliau turut menegaskan bahawa sukan bola sepak bukan hanya melibatkan 22 pemain di atas padang, malah merangkumi peranan besar individu di luar padang termasuk jurulatih, pengadil, petugas stadium, pasukan perubatan serta pihak pengurusan kejohanan.
Datuk Abdullah berkata nilai disiplin, kerjasama berpasukan, kawalan emosi serta kepatuhan kepada arahan jurulatih yang diterapkan menerusi sukan bola sepak wajar diterjemahkan dalam kehidupan seharian pemain muda bagi membentuk peribadi yang seimbang dan berdaya tahan.
Beliau turut berharap agar penganjuran kejohanan seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan serta diperkasakan melalui penambahbaikan kemudahan sukan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak, supaya lebih ramai bakat muda berpeluang menonjolkan kebolehan di peringkat lebih tinggi.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah menyeru ibu bapa agar tidak berputus asa memberikan galakan kepada anak-anak untuk terus aktif dalam bidang sukan kerana penglibatan tersebut mampu membentuk sahsiah yang baik serta menjauhkan golongan muda daripada gejala tidak sihat.
Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah M Rabu berkata, PYFCL 2025 bukan sekadar sebuah kejohanan, sebaliknya menjadi platform pembangunan belia Sarawak secara holistik merangkumi pembentukan disiplin, semangat berpasukan dan daya tahan diri.
Menurut beliau, bermula daripada penganjuran Petronas Youth Football Championship Tournament (PYFCT) sehingga kemuncak PYFCL 2025, sebanyak 819 perlawanan telah berlangsung melibatkan 40,755 minit permainan serta merekodkan 1,116 jaringan gol, sekali gus mencerminkan potensi besar bakat muda Sarawak untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Dalam majlis tersebut, kategori PSK16 menyaksikan KV Miri Landas Youth Team dinobatkan sebagai juara, diikuti My Team X SMKAI sebagai naib juara, manakala tempat ketiga bersama dimenangi Kelab Pembangunan Bola Sepak SMK Sri Matang dan Sarikei FA. Piala bagi kategori ini telah disampaikan oleh Datuk Abdullah Saidol.
Bagi kategori PSK14, Cascara Junior muncul juara, Sekolah Sukan Negeri Sarawak (SSN) sebagai naib juara, manakala Mukah FA dan Al Mateem Football Academy berkongsi tempat ketiga. Piala kategori tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli.
Anugerah individu turut disampaikan, antaranya Fair Play PSK14 kepada Kuching City Football Club Academy, penjaring terbanyak PSK14 disandang Zainul Ariffin Mohd Zainuddin dengan sembilan gol, penjaga gol terbaik Aiman Ihtisyam Abrisam (Cascara Junior) dan pemain terbaik Vanderan Belikau (SSN Sarawak).
Bagi kategori PSK16, anugerah Fair Play dimenangi NFDD Sarawak, penjaring terbanyak Mohd Aidil Ikhwan Mohamad dengan lima gol, penjaga gol terbaik Bryan Nistelroy Joshua (KV Miri Landas Youth Team) dan pemain terbaik Abdul Rafiq Rezwan Abdul Rahman dari KV Miri Landas Youth Team.
Majlis penangguhan tersebut turut menyaksikan perlawanan akhir antara My Team C SMKAI dan KV Miri Landas Youth Team, yang menyaksikan KV Miri Landas Youth Team mencipta kemenangan menerusi jaringan penentuan pada minit akhir perlawanan.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Datu Kameri Affandi, Pengurus Besar Kanan Perhubungan Pihak Berkepentingan, Perhubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan PETRONAS Khairuddin M Jaafar, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Fredrick, serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS