Hari Keluarga Jadi Platform Perkukuh Silaturahim Penduduk Kampung Sungai Dua
MIRI: Majlis Hari Keluarga dan Sambutan Tahun Baharu 2026 warga Kampung Sungai Dua berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 350 orang penduduk di Lakeside Ilham Center pada 3 Januari.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda serta barisan kepimpinan komuniti setempat.
Dalam ucapannya, Dato Anyi merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan program berteraskan kekeluargaan dan perpaduan itu.
Menurut beliau, program seumpama ini amat penting dalam mengukuhkan hubungan silaturahim serta menyemai nilai kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Dato Dennis menegaskan bahawa semangat perpaduan merupakan asas penting dalam memastikan kesejahteraan dan pembangunan komuniti setempat.
Katanya, Hari Keluarga bukan sahaja menjadi medan beriadah dan beramah mesra, malah berfungsi sebagai platform memperkukuh kerjasama demi pembangunan kampung yang berterusan.
Majlis yang dianjurkan bertujuan mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk Kampung Sungai Dua serta memperkukuh semangat perpaduan komuniti melalui pelbagai aktiviti kekeluargaan yang melibatkan penyertaan semua peringkat umur.
Suasana mesra dan harmoni sepanjang penganjuran program tersebut mencerminkan semangat kekeluargaan yang kukuh dalam kalangan warga Kampung Sungai Dua. - EDISI UKAS