Yuanji Miri Perkasa Kesihatan Fizikal dan Mental, Kukuh Perpaduan Sosial Komuniti
MIRI: Pembangunan sesebuah masyarakat bukan sahaja bergantung kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur, malah turut dipengaruhi oleh tahap kesihatan fizikal, mental serta perpaduan sosial dalam kalangan rakyat.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, masyarakat yang sihat dari segi jasmani dan rohani serta bersatu padu merupakan asas penting kepada kemajuan dan kelestarian sesebuah bandar dan negeri.
“Pembangunan tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut ekonomi dan infrastruktur, namun tahap kesihatan fizikal, mental serta kekuatan perpaduan sosial rakyat turut memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat yang seimbang dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Tengah Hari Yuanji dan Upacara Angkat Sumpah Jawatankuasa Pusat Penyelarasan Yuanji Miri yang berlangsung di Persatuan Senaman Yuanji Bandaraya Miri, hari ini.
Menurut beliau, amalan Yuanji bukan sekadar aktiviti senaman, sebaliknya satu cara hidup yang menekankan keseimbangan jasmani dan rohani, disiplin diri, ketabahan serta sikap hidup positif.
“Nilai-nilai yang diterapkan melalui Yuanji seperti disiplin diri, ketabahan, sikap hidup positif dan semangat keprihatinan merupakan asas penting dalam membentuk komuniti yang bersatu, berdaya tahan dan saling menyokong,” katanya.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee menggalakkan agar penyertaan dalam aktiviti Yuanji diperluaskan merentasi pelbagai peringkat umur, kaum dan latar belakang, termasuk golongan belia dan keluarga.
“Penyertaan yang menyeluruh ini dapat melambangkan perpaduan dan integrasi sosial yang sebenar dalam masyarakat berbilang kaum di Sarawak,” ujarnya.
Mengulas mengenai pelantikan jawatankuasa baharu, beliau berkata ia melambangkan kesinambungan kepimpinan serta penerusan misi pertubuhan tersebut dalam memperkukuh penglibatan komuniti dan mempromosikan gaya hidup sihat sebagai sebahagian daripada pembangunan sosial.
“Saya berharap kepimpinan baharu ini dapat terus bekerjasama dengan jabatan kerajaan, organisasi komuniti dan pertubuhan masyarakat bagi menganjurkan lebih banyak program berkaitan promosi kesihatan, kebajikan, penglibatan belia serta penjagaan warga emas,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, serta Kaunselor Tan Lek Jin yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew. - EDISI UKAS