Ahli Parlimen Batang Lupar Santuni Penduduk Beting Maro Melalui Program Ziarah Kasih
PUSA: Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli mengadakan Program Ziarah Kasih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, pada Ahad sebagai usaha mendekati rakyat setempat.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang itu melibatkan lawatan ke beberapa buah kampung iaitu Kampung Semarang, Kampung Spinang, Kampung Beladin dan Kampung Pusa.
Menerusi program tersebut, Mohamad Shafizan telah menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada tujuh buah keluarga yang memerlukan, melibatkan dua keluarga di Kampung Semarang, dua di Kampung Beladin, dua di Kampung Pusa dan sebuah keluarga di Kampung Spinang.
Menurut beliau, program seumpama ini bukan sekadar bertujuan menyampaikan bantuan keperluan asas, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta membina ukhuwah kekeluargaan bersama komuniti setempat.
“Bagi saya, program seperti ini amat baik dan menyantuni penduduk kampung adalah tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen di kawasan ini,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tersebut.
Tambah beliau, program Ziarah Kasih akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menyantuni penduduk yang terlantar, warga emas serta mereka yang menghidap penyakit kronik.
Lawatan berkenaan turut disertai oleh Penghulu Spinang, Semarang dan Batang Maro, Musa Zin; Ketua Pemuda Beting Maro, Awang Nasfarini Awang Sarbini; Ketua Kampung Hilir Beladin, Awang Subhi Awang Halil; Ketua Kampung Semarang, Suria Azmie; Ketua Wanita Beting Maro, Hajijiah Lueng serta barisan Pemuda Cawangan Beting Maro.
Penduduk setempat merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Batang Lupar atas kesudian meluangkan masa bersama komuniti serta keprihatinan beliau terhadap kebajikan rakyat di kawasan Beting Maro.