PISMA Bantu Kenal Pasti Penyelesaian Masalah Banjir Bandar Mukah
MUKAH: Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) bagi Mukah akan membantu mengenalpasti penyelesaian jangka panjang masalah banjir di kawasan bandar itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, pelan induk ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan Pertama (RP1).
“Dapatan daripada kajian pelan induk ini akan membantu mengenal pasti penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu banjir di Bandar Mukah serta menjadi asas permohonan pembiayaan pada masa hadapan untuk melaksanakan langkah-langkah mitigasi yang dicadangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pemeriksaan kerja-kerja pembersihan parit dan kawasan tadahan air hujan di Jalan Pinang, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan penyelesaian jangka panjang bagi isu tersebut telah dibentangkan oleh Kerajaan Sarawak sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.
Menyentuh mengenai program pada hari tu, beliau memberitahu kerja-kerja pembersihan tersebut melibatkan kawasan sekitar Jalan Pinang, seluruh Pasar Mukah, Kampung Pinang serta taman perumahan berhampiran yang dikenal pasti sering terjejas akibat banjir kilat ketika hujan lebat.
Menurut beliau, kerja-kerja berkenaan sedang dilaksanakan oleh agensi bertanggungjawab iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) sebagai langkah segera bagi melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir.
Di kesempatan itu, Royston merakamkan penghargaan kepada Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh atas tindakan pantas terhadap aduan yang dikemukakan, yang telah diambil tindakan dalam tempoh kurang 24 jam. -EDISI UKAS