Projek RTP 2025 Perkukuh Infrastruktur Rumah Panjang di Sarikei
SARIKEI: Pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur asas di kawasan luar bandar, khususnya di kawasan rumah panjang sekitar Sarikei.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, tiga buah rumah panjang di Sarikei diluluskan projek RTP melibatkan kerja menaik taraf jalan, pembinaan jalan konkrit serta penambahbaikan sistem perparitan yang memberi manfaat kepada 38 pintu rumah.
Menurut beliau, kemudahan asas yang baik penting bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar serta memastikan kelancaran pergerakan, keselamatan dan ekonomi setempat.
“Pelaksanaan projek RTP ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara inklusif dan seimbang,” katanya.
Terdahulu, Dato’ Sri Huang yang diwakili Wong Soon Mee bersama Penolong Jurutera Majlis Daerah Meradong dan Julau, Churchill mengadakan lawatan tapak ke rumah panjang terlibat pada Selasa bagi meninjau kawasan projek, mendengar maklum balas penduduk serta menyaksikan penyerahan tapak projek.
Antara rumah yang akan dilaksanakan adalah kerja naiktaraf jalan ke jalan simen di Rumah Murieng Kri, Ulu Bakong, Kutak, dan Rumah Bagong Usah, Batu 6 Jalan KJD.
Sementara itu, Rumah Lawi Chong, Batu 5 Jalan KJD, Bintangor melibatkan kerja menaik taraf sistem perparitan serta penambahbaikan tapak halaman rumah panjang termasuk kawasan parkir.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu dijangka meningkatkan tahap keselamatan, memudahkan urusan kecemasan serta melancarkan pengangkutan hasil pertanian penduduk. - EDISI UKAS