Dua Projek Titian Belian Perkukuh Akses Penduduk Sungai Ilas
JEMORENG: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasa kemudahan asas luar bandar terus dizahirkan menerusi pelaksanaan dua projek pembinaan dan naik taraf titian belian di kawasan Rumah Panjang Sungai Ilas, Batang Igan, yang melibatkan penyerahan projek siap serta serah tapak projek baharu.
Majlis tersebut melibatkan penyerahan tapak projek naik taraf titian belian dari kawasan parkir ke rumah panjang dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM240,000 meliputi pembinaan Titian Rumah Panjang Lang sepanjang 28 meter serta Titian Rumah Panjang Raya sepanjang 100 meter.
Pelaksanaan projek berkenaan dijangka meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan serta kemudahan perhubungan harian penduduk setempat khususnya ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu.
Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan projek siap melibatkan pembinaan titian belian sepanjang 75 meter bernilai RM150,000 yang telah disiapkan sepenuhnya lebih awal daripada jadual asal.
Penyerahan projek tersebut melibatkan Majlis Daerah Matu dan Daro selaku agensi pelaksana kepada pihak kontraktor dan tuai rumah serta disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya.
Ketika ditemui, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan projek infrastruktur asas seperti ini mencerminkan keprihatinan berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, menikmati kemudahan yang lebih selamat dan berkualiti.
Penduduk rumah panjang di kawasan Sungai Ilas turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas usaha berterusan kerajaan negeri yang bukan sahaja meningkatkan keselesaan hidup seharian, malah memudahkan pergerakan serta aktiviti komuniti setempat.-EDISI UKAS