Komuniti Sungai Ilas Terima Peruntukan MRP, Manfaat Terus Kepada Rakyat
JEMORENG: Kerajaan Sarawak terus komited membantu rakyat di peringkat akar umbi menerusi penyaluran peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi meringankan beban komuniti setempat serta memperkasa pembangunan luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya telah menyempurnakan penyerahan cek MRP berjumlah RM13,000 kepada tiga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Sungai Ilas di kawasan DUN Jemoreng.
Penyerahan peruntukan tersebut bertujuan membiayai pelaksanaan projek-projek kecil, aktiviti kemasyarakatan serta penambahbaikan kemudahan awam demi kesejahteraan penduduk setempat di kawasan Sungai Ilas, Batang Igan.
Menurut beliau, peruntukan MRP merupakan antara inisiatif penting Kerajaan Sarawak bagi memastikan pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Gunakan peruntukan ini dengan penuh tanggungjawab kerana ia merupakan amanah kerajaan dan rakyat yang perlu dimanfaatkan untuk kepentingan bersama,” katanya.
Sementara itu, wakil penerima merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak serta ADUN Jemoreng atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap keperluan komuniti setempat.-EDISI UKAS