RM1.27 Juta MRP Perkasa Pembangunan Komuniti Di Lubok Antu
LUBOK ANTU: Sebanyak RM1.27 juta peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) telah disalurkan kepada 15 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta 12 persatuan menerusi Majlis Penyampaian Cek MRP di sini, pada Jumaat.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, peruntukan tersebut memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf prasarana rumah panjang, termasuk pembaikan infrastruktur asas, di samping menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan persatuan bagi memperkukuh pembangunan komuniti serta kesejahteraan sosial penduduk luar bandar.
Antara JKKK yang menerima peruntukan ialah JKKK Danau, JKKK Bukit Tungku, JKKK Kampung Melayu Lubok Antu, JKKK SPS Fasa I dan II Batang Ai serta JKKK Lubok Pantu.
Sementara itu, penerima daripada persatuan melibatkan Persatuan Ketua Masyarakat, Sarawak Dayak Graduates Association, SESCO Club Batang Ai serta beberapa JKKK dari kawasan Engkilili.
Susulan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai menegaskan bahawa penyaluran peruntukan MRP ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar secara inklusif dan mampan.
“Saya menyeru semua penerima agar menggunakan dana yang disalurkan secara telus, berintegriti dan berkesan demi manfaat jangka panjang komuniti setempat,” tegasnya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau, Pengurus Stesen HEP Batang Ai David Gunda serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS