LUBOK ANTU: Seramai lapan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lubok Antu menerima pelantikan semula, sekali gus mencerminkan kepercayaan berterusan kerajaan terhadap peranan penting mereka sebagai penghubung utama antara pentadbiran kerajaan dan komuniti di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, pelantikan semula tersebut bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya satu amanah besar yang menuntut komitmen tinggi daripada setiap KMKK untuk melaksanakan tugas dengan penuh integriti, berlandaskan garis panduan sedia ada serta selari dengan dasar dan aspirasi kerajaan.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan strategik KMKK dalam memastikan penyampaian maklumat, pelaksanaan program pembangunan serta penyelesaian isu rakyat di peringkat komuniti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, khususnya dalam konteks pembangunan luar bandar.
KMKK yang menerima surat pelantikan semula ialah Pemanca Grang Juben, Pemanca Chua Kee Long, Penghulu Jaul Lutau, Penghulu Klingsing Manau, Penghulu Manai Jalak, Penghulu Johnson Tanpa, Penghulu Entri Balai serta Penghulu Temeling, dengan tempoh pelantikan antara satu hingga dua tahun.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau. -EDISI UKAS