Rodiyah Tinjau PPS Dewan Mesra Simunjan, Sampaikan Bantuan Kepada Mangsa Banjir
SIMUNJAN: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, telah meninjau operasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Mesra Simunjan pada Sabtu bagi melihat secara dekat pengurusan pusat pemindahan serta kebajikan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat berkenaan.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan segala keperluan asas mangsa, termasuk bekalan makanan, kemudahan tempat tinggal, rawatan kesihatan dan aspek keselamatan, berada pada tahap yang baik sepanjang tempoh pemindahan susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah Simunjan akibat hujan berterusan.
Dalam tinjauan tersebut, Rodiyah telah diberi taklimat oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berhubung situasi semasa banjir, pengurusan operasi PPS serta langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan mangsa sepanjang berada di pusat pemindahan.
Beliau turut berinteraksi dengan mangsa banjir bagi mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai keadaan semasa di PPS serta sebarang keperluan tambahan yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkaitan.
Pada kesempatan sama, Rodiyah telah menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan, merangkumi Kit Makanan Permulaan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selain bantuan daripada Baitulmal Bahagian Samarahan dan Yayasan Petronas yang turut menyalurkan bantuan banjir bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.
Rodiyah turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Simunjan, termasuk Pejabat Daerah Simunjan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah Simunjan (MDS) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain para sukarelawan yang bertungkus lumus memastikan kelancaran operasi PPS dan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan, khususnya ketika berdepan situasi bencana alam, dan semua pihak diminta untuk terus memantau perkembangan semasa banjir dari semasa ke semasa.
Beliau turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Simunjan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, Leftenan (PA) Mohd Elyas Abdul Rhanie dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Simunjan, Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan Bojeng Ali dan Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Simunjan merangkap Exco Pemuda PBB Negeri Jamil Semoni. -EDISI UKAS