Jumlah Mangsa Banjir di PPS Dewan Mesra Simunjan Meningkat kepada 90 Orang
SIMUNJAN: Seramai 90 mangsa banjir daripada 32 Ketua Isi Rumah (KIR) kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Mesra Simunjan setakat jam 2.38 petang susulan hujan berterusan yang melanda kawasan sekitar daerah ini.
Berdasarkan rekod terkini, mangsa yang dipindahkan melibatkan penduduk dari beberapa kampung terjejas iaitu Kampung Hijrah, Kampung Jalan Tun Openg, Kampung Simunjan Jaya, Kampung Sungai Raya, Kampung Sungai Lingkau dan Kampung Nanas.
Daripada jumlah keseluruhan mangsa, seramai 53 orang lelaki dan 37 orang perempuan telah direkodkan berada di PPS berkenaan.
Taburan mangsa menunjukkan Kampung Simunjan Jaya mencatatkan jumlah tertinggi dengan 64 orang, diikuti Kampung Hijrah seramai 14 orang dan Kampung Jalan Tun Openg seramai 6 orang, manakala selebihnya melibatkan beberapa kampung lain dengan bilangan kecil.
Pengurusan PPS melibatkan kerjasama pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara, termasuk penyediaan keperluan asas, keselamatan serta pemantauan kesihatan penghuni PPS.
Situasi banjir terus dipantau dari semasa ke semasa dan kemas kini akan dibuat bergantung kepada keadaan cuaca serta paras air di kawasan terjejas. -EDISI UKAS