KUCHING: Keadaan banjir di seluruh Sarawak menyaksikan sebanyak 40 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) direkodkan setakat 4 petang pada Sabtu.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jumlah PPS direkodkan naik pada hari naik pada hari iaitu sebanyak 42 lokasi namun turun kepada 40 lokasi disebabkan beberapa lokasi banjir yang hanya sementara namun terpaksa dipindahkan.
"Jadi kami tidak dapat memberi trend perkembangan mangsa banjir semasa tetapi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di setiap tempat memantau keadaan dengan rapi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak (SDCC) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya pada Sabtu.
Datuk Amar Douglas menambah, trend ininjuga bergantung kepada cuaca seperti keadaan di Bintulu di Ulu Sebauh di Kemena di mana air mula naik sekali gus mempengaruhi penduduk kampung di kawasan tersebut.
Justeru, beliau menggesa agar mangsa banjir yang diarahkan berpindah untuk bertindak sedemikian demi keselamatan masing-masing.
Tambahnya, pihak Kerajaan Sarawak kini berusaha sedaya upaya untuk memastikan keadaan PPS dalam keadaan selesa biarpun dalam keadaan susah dengan menyediakan bekalan tilam serta makanan dengan nilai RM50 seorang.
"Kita juga letakkan fasiliti perubatan serta kemudahan lain yang ada.
"Pagi ini juga kita memantau keadaan sekitar bersama dengan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dengan melawat beberapa tempat dengan objektif memastikan perkhidmatan terbaik seperti diharapkan oleh kerajaan," ujarnya.
Untuk makluman, seramai 3,019 mangsa banjir telah direkodkan melibatkan 888 keluarga.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Felicia Tan Ya Hua serta ahli jawatankuasa lain terdiri daripada agensi-agensi kerajaan. -EDISI UKAS