KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah melawat Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak (SDCC) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya pada Sabtu.
Kehadiran beliau berdua bagi mendapatkan maklumat terkini daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengenai situasi banjir yang berlaku di sekitar Sarawak serta prihatin dengan mangsa-mangsa banjir.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Felicia Tan Ya Hua serta ahli jawatankuasa lain terdiri daripada agensi-agensi kerajaan.
Berucap dalam taklimat ringkas yang diadakan, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi memuji tindakan berterusan yang telah diambil oleh JPBNS diketuai oleh Datuk Amar Douglas Uggah yang bekerja keras memastikan mangsa-mangsa banjir selamat dan selesa terutamanya memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi kawasan.
"Saya mengucapkan syabas kepada pasukan yang diketuai oleh Datuk Amar Douglas dan berterima kasih kerana telah membantu rakyat yang kini mengalami musibah disebabkan banjir," katanya.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menyerubagar orang ramai untuk berpindah segera sekiranya disuruh oleh pihak berkuasa agar tidak menyusahkan diri dan orang ramai terutamanya air yang telah dimasuki air.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak sedia membantu dengan pelbagai dana seperti makanan dan tempat yang selesa kepada mangsa-mangsa banjir di PPS.
Dalam pada itu ketika ditemui pemberita, Datuk Amar Douglas berasa bangga dengan kehadiran Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi yang merupakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak pertama melawat SDCC ke atas keprihatinan beliau termasuk Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah untuk mendapatkan maklumat terkini mangsa banjir.
Jelasnya, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi ingin mendapatkan keadaan terkini serta tindakan yang diambil oleh JPBNS untuk semua mangsa banjir di samping mendapatkan maklumat bagaimana PPS ditentukan.
"Kita amat bertuah kerana bertahun saya menjadi Pengerusi JPBNS, ini kali pertama Yang di-Pertua Negeri Sarawak datang melawat dan meminta taklimat secara peribadi di bilik operasi kami.
"Kami mewakili rakyat Sarawak berterima kasih atas keprihatinan beliau mengenai masalah-masalah yang kita hadapi semasa musim banjir ini," ujarnya. -EDISI UKAS