MIRI: Seni kaligrafi bukan sekadar satu bentuk tulisan, sebaliknya merupakan manifestasi budaya yang sarat dengan nilai, emosi dan jiwa masyarakat Cina.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, setiap goresan berus membawa makna harapan, doa serta semangat baharu, lebih-lebih lagi apabila diaplikasikan dalam tradisi menulis kuplet dan aksara “fu” sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
“Melalui seni kaligrafi, budaya dapat didekatkan dengan komuniti dan disampaikan secara halus namun mendalam kepada semua lapisan masyarakat,” katanya semasa merasmikan Aktiviti Kaligrafi Tahun Baharu Cina 2026 di Pusat Membeli-belah Boulevard, di sini, pada Ahad.
Program ini menghimpunkan penggiat seni khat, pemimpin masyarakat serta orang ramai bagi menyemarakkan suasana menjelang sambutan Tahun Baharu Cina melalui penulisan kuplet musim bunga dan perkongsian seni budaya.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee turut merakamkan penghargaan kepada Miri Chinese Calligraphy & Cultural Society yang konsisten memelihara dan mempromosikan seni khat, termasuk usaha mendekati generasi muda serta membawa aktiviti budaya ke sekolah dan komuniti.
Beliau menyifatkan inisiatif tersebut penting bagi memastikan warisan budaya terus subur dan relevan dalam era teknologi dan kecerdasan buatan masa kini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu turut menyentuh isu banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Miri akibat hujan lebat berterusan sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata fenomena cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku kesan perubahan iklim global menuntut perancangan lebih menyeluruh, khususnya dari segi keupayaan sistem perparitan bandar.
Sehubungan itu, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka panjang untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keselamatan bandar, di samping menasihatkan penduduk di kawasan rendah agar sentiasa berwaspada.
Turut hadir, Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Miri James Hii Sing Lung serta barisan kepimpinan dan ahli persatuan.-EDISI UKAS