Kecekapan Agensi Kerajaan Tangani Banjir Kampung Nangka dan Entingan Dipuji
KOTA SAMARAHAN: Kecekapan dan tindakan pantas agensi kerajaan dalam menangani bencana banjir di Kampung Nangka dan Kampung Entingan mendapat pujian daripada kepimpinan serta penduduk kampung terlibat apabila kebajikan mangsa terus terpelihara sejak hari pertama kejadian.
Ketua Kampung Nangka, Minggu Julang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan yang bertindak segera membantu penduduk terjejas.
“Sejurus melihat paras air terus meningkat, saya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa dan saya amat berterima kasih kerana tindakan yang diambil sangat cepat dan teratur, khususnya dalam memindahkan penduduk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Kebajikan penduduk kampung kami benar-benar dijaga,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kehadiran Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang yang turun padang meninjau situasi banjir serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa terjejas.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kampung Nangka, Augustine Sian memaklumkan seramai 12 buah keluarga melibatkan 44 orang penduduk terjejas akibat banjir dan ditempatkan di PPS Dewan Kampung Nangka sejak Jumaat lalu.
“Kami amat berterima kasih atas sumbangan serta bantuan yang disalurkan oleh agensi kerajaan. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga hadir memantau tahap kesihatan mangsa sepanjang tiga hari kami berada di PPS,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Kampung Entingan, Kadom Changgai berkata penduduk kampung yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Entingan sejak Jumaat lalu turut menerima perhatian rapi serta sumbangan berterusan daripada pelbagai agensi kerajaan.
“Saya mewakili penduduk Kampung Entingan mengucapkan terima kasih atas segala bantuan yang diberikan, khususnya kepada Datuk Rubiah Wang yang sentiasa prihatin terhadap nasib penduduk kami,” katanya.
Seorang penduduk Kampung Entingan, Lily pula menyifatkan tindakan pantas agensi kerajaan sebagai faktor utama yang membantu meringankan beban mangsa banjir.
“Kami sangat menghargai kecekapan pihak agensi kerajaan yang bertindak cepat membantu penduduk terjejas. Bantuan yang disalurkan amat bermakna dalam keadaan sukar ini,” katanya.
Usaha bersepadu semua pihak ini jelas mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, khususnya ketika berdepan bencana alam.-EDISI UKAS