Kempen Gotong-Royong Jadi Pemangkin Transformasi Pekan Lapok dan Kawasan Tinjar
BELURU: Kempen Gotong-Royong yang diketuai Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan I (Kesihatan Awam, Perumahan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil, dilihat sebagai pemangkin berterusan kepada usaha mentransformasikan Pekan Lapok dan kawasan Tinjar ke arah persekitaran yang lebih bersih, teratur dan mampan.
Program yang berlangsung di perkarangan Pejabat Daerah Kecil Tinjar serta sekitar Pekan Lapok pada Ahad itu menghimpunkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan awam, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Ahli-ahli Majlis, pergerakan Pemuda dan Wanita GPS serta penduduk setempat.
Menurut Datuk Dr Penguang Manggil, kempen berkenaan bukan sekadar aktiviti pembersihan bersifat jangka pendek, sebaliknya menjadi medium mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab serta mempunyai rasa pemilikan bersama terhadap kebersihan dan keceriaan persekitaran.
“Kempen gotong-royong ini bukan sekadar membersihkan kawasan untuk sehari dua, tetapi bagi membentuk sikap sense of ownership dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kawasan kita. Persekitaran yang bersih mencerminkan tahap kesedaran dan perpaduan masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pegawai kerajaan, KMKK, Ahli-ahli Majlis serta pergerakan Pemuda dan Wanita GPS yang bersama-sama menjayakan program tersebut.
Dalam pada itu, Datuk Dr Penguang Manggil berkongsi visi jangka panjang untuk melihat Pekan Lapok berubah menjadi sebuah pekan yang lebih bersih, ceria, tersusun dan vibrant, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.
Beliau menjelaskan bahawa usaha tersebut bermula dengan penyambungan bekalan elektrik grid melalui Projek Rakyat pada tahun 2020 dan diteruskan melalui pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur asas di kawasan Tinjar dan Pekan Lapok.
Antara projek yang terlibat termasuk pembinaan Pejabat Daerah Kecil Tinjar yang telah siap, Projek Bekalan Air Luar Bandar Tinjar yang sedang dibina, pembinaan Dewan Masyarakat yang kini di peringkat rekabentuk, naik taraf sistem jalan melibatkan peruntukan melebihi RM300 juta di pelbagai peringkat pelaksanaan, naik taraf sistem perparitan serta perancangan pembinaan sebuah esplanade di Pekan Lapok.
Beliau turut menegaskan bahawa persekitaran pekan yang terpelihara mampu menyumbang kepada tahap kesihatan awam yang lebih baik, pembentukan minda positif, peningkatan kualiti hidup serta membuka ruang ekonomi kepada peniaga kecil dan industri tempatan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar mengamalkan pengurusan sisa yang berhemah dan menjaga kemudahan awam bagi memastikan kebersihan serta pembangunan kawasan Tinjar dapat dikekalkan secara berterusan.-EDISI UKAS