Program CSR DUN Lingga Fokus Pembangunan Komuniti & Kesihatan
KUCHING: Pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga memberi fokus khusus ke arah pembangunan komuniti dan kesejahteraan kesihatan penduduk.
Susulan itu, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan pada Ahad untuk menghimpunkan sukarelawan ‘Professional Certificate Contemporary Leadership’ (PCCL) bersama barisan tenaga profesional merangkumi profesor, doktor, pakar pelbagai disiplin serta jurulatih bertauliah, bagi merangka perancangan awal pelaksanaan program CSR yang berimpak tinggi dan bersifat mampan kepada masyarakat setempat.
Mempengerusikan mesyuarat berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Perbincangan tertumpu kepada penyelarasan strategi pelaksanaan program yang akan dilaksanakan secara langsung di peringkat komuniti, khususnya di kampung-kampung sekitar kawasan Lingga.
Penekanan diberikan kepada pengisian program yang tersusun, menyeluruh dan selari dengan keperluan sebenar penduduk, meliputi aspek pembangunan sosial, kesihatan, kepimpinan serta pemerkasaan komuniti.
Antara tokoh akademik dan profesional yang hadir revealed ialah Profesor Ir Dr Wan Azlan Wan Zainal Abidin dari Fakulti Kejuruteraan, Profesor Dr Kamarudin Kana dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, serta Profesor Dr Dayang Affizah Awang Marikan dan Profesor Madya Dr Mahani Mohammad Abdu Sukur dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, masing-masing daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Turut serta ialah wakil institusi pengajian tinggi dan industri termasuk Profesor Madya Dr Jati Kasuma Ali (UiTM Cawangan Kota Samarahan), Dr Nur Aida Kipli (UiTM Cawangan Sarawak), Dr Jee Teck Weng (Swinburne University of Technology Sarawak Campus), Dr Edris Aden (UNIMAS), serta wakil sektor profesional dan korporat seperti Ir Athira Abdullah (Jabatan Kerja Raya Sarawak), Ir Masayu Kiprawi dan Ts Noor Nikman Salleh (Black Dot Management Sdn Bhd), serta Ts Mohamad Fahmi Brahim (Kiasan Engineering Sdn Bhd Sarawak).
Mesyuarat ini turut disertai Nordiana Ahmad Nordin dari UNIMAS dan Zaiwin Kassim, Pengasas Bersama ZAYN Consulting Group, yang berkongsi pandangan serta kepakaran dalam memperkukuh pelaksanaan inisiatif berasaskan komuniti.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua peserta yang hadir serta memberikan komitmen padu dalam menjayakan perancangan awal program CSR ini, yang dijangka memberi manfaat besar kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan komuniti di kawasan DUN Lingga. -EDISI UKAS