Nelayan Bintulu Diingatkan Tangguh Aktiviti Ke Laut Ketika Cuaca Tidak Menentu
BINTULU: Nelayan di sekitar Bintulu diingatkan supaya menangguhkan sebarang aktiviti ke laut ketika cuaca tidak menentu berikutan hujan berterusan yang berisiko mewujudkan keadaan laut berbahaya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Datu Nyurak Keti berkata, aspek keselamatan nelayan perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, khususnya ketika musim hujan yang boleh mengundang ombak kuat dan angin kencang.
Menurutnya, nelayan disaran supaya sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini dan nasihat keselamatan daripada agensi berkaitan sebelum menjalankan sebarang aktiviti di laut.
“Nelayan dinasihatkan agar tidak turun ke laut ketika hujan lebat atau cuaca tidak menentu serta mematuhi semua garis panduan keselamatan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBB Bintulu yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Sri Bintulu, Pejabat Residen Bintulu pada Ahad.
Dalam pada itu, Datu Nyurak yang juga Residen Bahagian Bintulu turut mengingatkan komuniti pesisir pantai supaya sentiasa berwaspada dan memaklumkan sebarang perkembangan berkaitan cuaca atau kejadian luar jangka kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi.
Turut hadir semasa mesyuarat berkenaan ialah Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali, Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis, Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bolhan, Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong Endawi, Pegawai Daerah Sebauh, Thadeus Ling Allu serta wakil-wakil agensi berkaitan.-EDISI UKAS