Program Back to School Legakan Ibu Bapa Menjelang Pembukaan Sesi Persekolahan
BINTULU: Inisiatif program ‘Back to School’ memberi kelegaan kepada ibu bapa apabila perkhidmatan gunting rambut percuma disediakan bagi membantu persiapan anak-anak menjelang pembukaan sesi persekolahan.
Program anjuran Wanita, Pemuda dan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak yang dilaksanakan di RPR Sibiew dan Kampung Warisan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat termasuk penduduk dari kawasan sekitar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, program tersebut selari dengan usaha membantu meringankan beban kewangan keluarga, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup pada awal tahun persekolahan.
Menurut beliau, jumlah pelajar yang hadir untuk mendapatkan perkhidmatan gunting rambut percuma melepasi sasaran awal yang ditetapkan, sekali gus mencerminkan keperluan sebenar masyarakat terhadap inisiatif program berasaskan kebajikan.
“Penganjuran program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah mengurangkan beban kewangan ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah,” katanya ketika ditemui semasa program tersebut pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan bahawa sambutan positif daripada penduduk setempat serta kawasan sekitar seperti Kampung Kemunting dan Kampung Baru menjadi asas kepada perancangan menjadikan program tersebut sebagai inisiatif tahunan bagi DUN Jepak.- EDISI UKAS