Warga Emas Terima Rumah Baharu Melalui Peruntukan MRP ADUN Opar
LUNDU: Seorang warga emas, Dodor Lakiah dari Kampung Sebigo Dayak di sini kini menikmati kediaman yang lebih selesa dan selamat apabila menerima sebuah rumah baharu yang dibina menerusi peruntukan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar.
Penyerahan kunci rumah tersebut telah disempurnakan oleh ADUN Opar Billy Sujang pada Isnin.
Pembinaan rumah baharu itu melibatkan peruntukan berjumlah RM50,000, yang disalurkan khusus bagi membantu golongan memerlukan memiliki tempat tinggal yang lebih baik.
Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut ialah Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail yang bersama-sama Billy menyempurnakan penyerahan kunci rumah serta meluangkan masa meninjau keadaan kediaman baharu berkenaan.
Dalam rangka lawatan kebajikan itu juga, Billy dan Zulkarnain turut berkesempatan meninjau sebuah lagi rumah yang dibina menggunakan peruntukan MRP yang sama iaitu rumah milik Kundeng Salim di Kampung Raso 1.
Lawatan tersebut adalah bagi memastikan pelaksanaan projek perumahan rakyat yang dibiayai kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar.
Pada masa yang sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Lundu turut menyampaikan kit bantuan kepada Kundeng sebagai sokongan tambahan bagi meringankan beban serta memastikan kebajikan terus terpelihara.-EDISI UKAS