PUSA: Sebanyak RM53,000 disalurkan kepada 12 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro bagi melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan aktiviti pembangunan komuniti di peringkat kampung.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata peruntukan itu bertujuan memastikan setiap JKKK mempunyai sumber yang mencukupi untuk bergerak aktif membantu penduduk serta menganjurkan program yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
“Geran ini bukan sekadar sumbangan kewangan, tetapi sebagai pemangkin supaya JKKK dapat lebih proaktif menganjurkan aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan pembangunan sosial di kampung masing-masing,” katanya ketika berucap dalam Majlis Santai Rantau Kita di sini pada Isnin.
Menurut beliau, JKKK dan ketua kampung merupakan struktur penting di peringkat akar umbi yang paling memahami keperluan serta permasalahan sebenar penduduk, sekali gus memudahkan kerajaan merangka penyelesaian yang lebih berkesan.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap program atau aktiviti yang dirancang menggunakan peruntukan tersebut perlu memberi manfaat terus kepada komuniti, sama ada dari segi kebajikan, perpaduan mahupun pembangunan sosial.
“Melalui JKKK, setiap isu yang timbul di kampung boleh disampaikan dengan cepat, diselaras dan dibincangkan bersama wakil rakyat sebelum ia menjadi masalah yang lebih besar.
“Saya berharap semua JKKK dapat mengenal pasti isu di kawasan masing-masing dan menggunakan geran ini sebaik mungkin untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di DUN Beting Maro,” tambahnya.-EDISI UKAS