APM Sri Aman Laksana Rondaan ke Tiga Sungai Berisiko Banjir di Pantu
PANTU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman telah melaksanakan rondaan pemantauan di tiga sungai berisiko banjir di kawasan Pantu pada Isnin.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman Leftenan (PA) Kamal Bujang berkata, rondaan tersebut bermula jam 8 pagi hingga jam 4 petang melibatkan Sungai Strap, Sungai Kunang dan Sungai Tatai bagi memantau paras air susulan hujan berterusan sebelum ini.
"Pemantauan di Sungai Strap dilakukan pada jam 12.45 tengah hari dan paras air didapati surut secara perlahan dengan anggaran kedalaman sekitar dua kaki (60 sentimeter) di bawah keadaan cuaca yang baik.
“Pasukan kemudiannya bergerak ke Sungai Tatai pada jam 1.10 petang dan mendapati paras air berada dalam keadaan normal dengan cuaca yang baik.
“Manakala di Sungai Kunang, hasil pemantauan anggota pada jam 1.34 petang juga mendapati air berada di paras normal dengan keadaan persekitaran didapati selamat,” katanya.
Sepanjang rondaan itu, Kamal berkata, anggota APM turut menasihati orang awam yang berada di lokasi agar sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran serta perubahan paras sungai dan parit.
"Secara keseluruhannya, kesemua lokasi pemantauan adalah dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang kejadian bencana atau kecemasan dilaporkan.
"Pasukan pemantauan juga berada dalam keadaan selamat dan logistik berada dalam keadaan siap sedia untuk diatur gerak bagi tugasan seterusnya," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kecemasan melalui talian MERS 999 atau menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana APM Daerah Sri Aman di talian 083-320973.
Terdahulu, hujan berterusan pada Jumaat dan Sabtu lalu menyebabkan Sungai Batang Strap melimpah dan paras air meningkat sehingga kira-kira tiga kaki di kawasan hujung Jambatan Batang Strap.
Keadaan tersebut menyebabkan penduduk dari kawasan Muding, Semawa, Ipoh dan kawasan sekitarnya terpaksa menggunakan perahu bagi meredah banjir untuk menjalankan urusan ke Pekan Pantu atau ke lokasi lain.-EDISI UKAS